Sunday 13 November 2022

HADIS DAN KISAH BELASAH DAN BUNUH SYAITAN JENIS JIN

 

*HADITH 1

 RASULULLAH SAW INGIN MENGIKAT JIN IFRIT*

"Sesungguhnya jin ifrit telah meloncatiku semalam - atau beliau bersabda dengan kalimat yang serupa- untuk memutuskan shalatku maka Allah memberi kekuatan kepadaku darinya, dan sungguh aku ingin mengikatnya di salah satu tiang masjid, lalu pada pagi harinya kalian semua bisa melihatnya." Beliau bersabda lagi: "namun aku teringat akan doa saudaraku Sulaiman; 'Tuhanku anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorangpun sesudahku.' Rauh berkata; "Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pun melepaskannya dalam keadaan hina."

Daripada Abu Hurairah, Muhammad ibn Ziyad, Syu’bah, Muhammad Bin Ja’far, Rauh dan Ishaq bin Ibrahim.

(H.R.S: Imam Bukhari/no. 4434)

*Takhrij*

HR. Bukhari, Kitab Tafsir, Bab Surah Shaad Ayat 35, dari Abu Hurairah,no. 4434, *sahih ijma’*. Hadis ini memiliki penguat sebagai berikut: Shahih Muslim 842 Musnad Ahmad 7628

 

 

*HADITH 2

 TERBUNUHNYA JIN ‘UZZA DI TANGAN KHALID AL-WALID* 

“Ketika Rasulullah SAW menaklukkan kota Mekah, beliau mengutus Khalid bin al Walid ke daerah Nakhlah, tempat keberadaan berhala ‘Uzza. Akhirnya Khalid mendatangi ‘Uzza, dan ternyata ‘Uzza adalah tiga buah pohon Samurah. Khalid pun lantas menebang ketiga buah pohon tersebut. Ketiga buah pohon tersebut terletak di dalam sebuah rumah. Khalid pun menghancurkan bangunan rumah tersebut. Setelah itu Khalid menghadap Nabi -SAW- dan melaporkan apa yang telah dia kerjakan. Nabi berkata, ‘Kembalilah kerana engkau belum berbuat apa-apa.’Akhirnya kembali. Tatkala para juru kunci ‘Uzza melihat kedatangan Khalid, mereka menatap ke arah gunung yang ada di dekat lokasi sambil berteriak, “Wahai ‘Uzza. Wahai ‘Uzza.” Khalid akhirnya mendatangi puncak gunung, ternyata ‘Uzza itu berbentuk perempuan telanjang yang mengurai rambutnya. Dia ketika itu sedang menuangkan debu ke atas kepalanya dengan menggunakan kedua telapak tangannya. Khalid pun menghunus pedang ke arah jin perempuan ‘Uzza sehingga berhasil membunuhnya. Setelah itu Khalid kembali menemui Nabi dan melaporkan apa yang telah dia kerjakan. Komentar Nabi, “Nah, itu baru ‘Uzza.”

 

Daripada Abu Al-Thufail

(H.R.S: An-Nasaie)

*Takhrij

HR. An-Nasaie dalam Sunan Kubra no. 11547. *Dihasankan* oleh Syaikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i di dalam As-Shahihul Musnad no. 533.

 

 

*HADITH 3

AMMAR BIN YAASIR BERKELAHI DENGAN JIN*

"Aku ikut bersama Rasulullah saw pernah memerangi jin dan manusia." Seseorang bertanya kepadanya tentang memerangi jin, dan 'Ammar bin Yasir menjawab,"Rasulullah saw mengirimku ke suatu sumur tempat beliau saw mengambil air. Lalu aku melihat syaitan yang menyerupai hamba berkulit hitam. Dia menyerangku dan akupun menyerangnya, sehingga kami terlibat dalam satu pergelutann. Suatu saat aku menghentam muka dan hidungnya dengan batu yang kutemukan." Ketika aku kembali, Rasulullah saw bertanya kepadaku, dan akupun menceritakan apa yg kualami. Dan Rasululullah saw bertanya adakah aku mengenali lelaki tersebut. Aku menjawab, "Tidak". Baginda saw menjawab "Itu adalah syaitan".

Daripada 'Ammar bin Yasir dan Hasan Al-Basri

(HRS: Imam Baihaqi)

*Takhrij*

HR. Baihaqi dalam Dalail Nubuwah (7/124), dari Ammar bin Yasir. Imam Baihaqi menyatakan sanadnya *sahih sehingga Hasan al-Basri*.

Ibnu Hajar al-Asqhalani di dalam Al-Matalib Al-'Aliyah (16/291) mengatakan sanadnya *muqhati* (terputus) tetapi perawi hadith ini tsiqah (terpercaya).

 


*HADITH 4 (KISAH TABIEN)

JIN PERNAH MUNCUL DI DEPAN IMAM MUJAHID* 

“Suatu malam ketika saya sedang melaksanakan solat, tiba-tiba muncul makhluk sebesar anak laki-laki di hadapan saya. Lalu saya desak dia untuk menangkapnya. Tiba-tiba dia bangun dan lompat ke belakang dinding sehingga saya mendengar jatuhnya. Setelah itu, dia tidak penah datang lagi. Syaitan itu sebenarnya sangat takut terhadap kalian (manusia), melebihi ketakutan kalian kepadanya. Oleh kerana itu, syaitan menampakkan diri kepada kalian, janganlah kalian lari ketakutan. Kerana jika kalian takut, ia akan mengganggu kalian, akan tetapi bersikaplah keras kepadanya, pasti dia akan pergi” 

Daripada Imam Mujaahid Ibn Jabar (w 104H)

(H.R.S: Imam Ibnu Abi Dunya)

 

*Takhrij*

HR. Abi Dunya seperti direkodkan oleh as-Syibli dalam Kitab Akam al-Marjaan fi Ahkam al-Jaan (1/107). *Tidak dapat dikenalpasti akan statusnya.* Dan terdapat di dalamnya perawi yang terkenal dengan tadlis yakni Ibnu Baghandi, menurut Ibnu Hajar dia shaduq dan amanah (Thabaqat Mudallisin no. 32).

 

*HADITH 5

NABI IBRAHIM AH MELEMPAR IBLIS*

“Ketika Ibrahim kekasih Allah melakukan ibadah haji, tiba-tiba Iblis menampakkan diri di hadapan beliau di jamrah Aqabah. Lalu Ibrahim melempari syaitan itu dengan tujuh kerikil, hingga iblis itupun masuk ke tanah . Iblis itu menampakkan dirinya kembali di jamrah yang kedua. Lalu Ibrahim melempari syaitan itu kembali dengan tujuh kerikil, hingga iblis itupun masuk ke tanah. Kemudian Iblis menampakkan dirinya kembali di jamrah ketiga. Lalu Ibrahim pun melempari setan itu dengan tujuh kerikil, hingga iblis itu masuk ke tanah. 

Daripada Ibnu Abbas R.A

(H.R.S: Imam Ahmad/no. 2794)

*Takhrij*

HR. Ahmad no. 2794, sanadnya didhaifkan Syeikh al-Arnauth dalam Takhrij Musnad. Dan Syeikh al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Sahih Targhib no. 1156.

 

 

*HADITH 6

UMAR AL-KHATTAB BERGUSTI DENGAN JIN 

Dari Abdullah ibnu Mas'ud, bahawa ada seorang lelaki dari kalangan manusia berangkat, lalu dia bersua dengan lelaki dari kalangan makhluk jin. Jin berkata kepadanya, "Mahukah engkau berkelahi denganku? Jika kamu dapat mengalahkan aku, aku akan mengajarkan kepadamu suatu ayat yang jika kamu katakan ketika hendak memasuki rumahmu nescaya tidak ada syaitan yang berani memasukinya." Maka manusia itu berkelahi dengannya, dan ternyata dia dapat mengalahkannya. Lalu si manusia berkata, "Sesungguhnya aku mendapatimu berbadan kurus lagi kasar, seakan-akan kedua tanganmu seperti tangan (kaki depan) anjing. Apakah memang demikian semua bentuk dan rupa kalian golongan jin, ataukah kamu hanya salah satu dari mereka?" Jin itu menjawab, "Sesungguhnya aku di antara mereka adalah jin yang paling kuat. Sekarang marilah kita bertarung lagi." Maka manusia itu bertarung dengannya dan dapat mengalahkannya. Akhir-nya jin itu berkata; Kamu baca Ayat Kursi, kerana sesungguhnya tidak sekali-kali seseorang membacanya bila hendak memasuki rumahnya, melainkan syaitan (yang ada di dalamnya) keluar sambil terkentut-kentut, seperti suara keldai. Kemudian ditanyakan kepada Ibnu Mas'ud, "Apakah yang dimaksudkan dengan manusia tersebut ialah Umar?" Ibnu Mas'ud menjawab, "Siapa lagi orangnya kalau bukan Umar."

*Takhrij*

HN. al-Haithami dalam Majma Zawaid 9/73 dan Ibnu Katsir dalam tafsirnya bagi ayat kursi. Isnadnya disahihkan oleh Ahmad Syakir dalam Umdatul Tafsir 1/310

 

 

*HADITH 7

IBNU ZUBAIR MEMUKUL JIN*

Ibnu Az-Zubair meriwayatkan bahawa suatu ketika ia melihat seorang lelaki memakai pakaian yang biasa digunakan ketika musafir tingginya satu jengkal (20 -30 cm) lalu Ibnu Az-Zubair bertanya: “Siapa engkau ini ?” Makhluk itu menjawab: “Aku Izib”. Ibnu Az-Zubair berkata: “Apa Izib itu?” Makhluk itu menjawab: “Izib ya Izib”. Lalu Ibnu Az-Zubair memukulnya dengan tongkatnya hingga makhluk itu lari terbirit-birit.

(HRS: Imam Sufi Al-Syibli) 

*Takhrij*

HN. Al-Syibli dalam Akam Al Marjan fi Ahkam al Jaan hal. 289. *Tidak dapat dikenalpasti akan statusnya.*

 

Monday 10 October 2022

SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN | TOK AWANG NGAH

 Pak Kamat Menunggang Harimau 

SUDAH lama saya tidak balik ke kampung. Kalau tidak ada hal mustahak memang jarang saya balik. Lagipun ayah saya sering mengirim surat memberitahu khabar berita di kampung. Bagaimanapun dalam bulan Ogos 1975 saya balik juga menemui kedua orang tua. Tergerak saja hati saya mahu balik menemui mereka.

Ketika saya balik, emak saya masih dalam kesedihan. Hairan juga saya mengapa emak dalam kesedihan kerana semasa mengirim surat ayah saya tidak ada memberitahu apa-apa tentang berita tidak baik. Rupanya emak bersedih disebabkan dua ekor lembunya mati. Seekor lembu dara tengah naik tubuh dan seekor lagi induk lembu sudah dua kali beranak. Inilah yang menyedihkan emak saya. Dia memang sayang pada binatang-binatang ternakannya. Emak pernah sugul sampai dua minggu kerana kucing kesayangannya mati ditetak orang dengan parang. Sempat kucing itu balik ke rumah dengan belakangnya terbelah akibat ditetak dengan parang. Emak terpaksa membasuh luka kucing itu dan dibubuh ubat. Bagaimanapun dua hari kemudian kucing tersebut mati juga kerana lukanya sudah berulat.

"Kalau jual lembu tu, tak kurang dari tujuh ratus ringgit seekor." ujar emak masih dalam kesedihan. "Tapi, bukan duitnya yang kita kenang. Mengapa orang sampai hati menganiaya binatang…" tegas emak terharu dengan nasib yang menimpa binatang ternakannya.

Misalnya kucing kesayangan dia yang ditetak dengan parang itu. Apalah dosa kucing itu sampai tergamak tangan manusia menetaknya dengan parang. Di manakah letaknya perikemanusiaan sebagai makhluk yang termulia dijadikan Allah sehingga sanggup melakukan perbuatan yang lebih hina dari seekor haiwan.

"Lembu tu kena racun ke?" tanya saya perlahan. Emak tidak menjawab. Dia masih menahan kesedihan akibat kematian dua ekor lembu itu. Memang emaklah yang mengembala lembu tersebut. Emak ada memelihara enam ekor lembu. Dia tidak melepaskan lembunya seperti kebanyakan lembu yang diternak di kampung kami. Emak hanya menambatkan saja lembunya di tengah sawah kami yang tidak dapat dikerjakan kerana tidak dapat bekalan air secukupnya. Tengahari emak akan mengembala lembu-lembunya ke sungai untuk diberi minum. Kemudian ditambat semula. Dalam satu hari itu emak perlu mengalihkan lembu tiga empat kali saja ditambat ke tempat yang ada kawasan rumput. Jadi, adalah mustahil boleh termakan racun lembu-lembu berkenaan.

"Boleh jadi Cina meracun di kebun pisang agaknya." saya mengagak kalaulah benar lembu-lembu itu termakan racun. "Kadangkala bekas dia meracun tu boleh membahayakan kalau tak dicuci bersih…" jelas saya lagi.

"Racun apa!?" ayah saya mendengus.

"Dua gulung kawat mata punai sebesar tekoh dalam perutnya." beritahu ayah saya terbatuk-batuk.

"Kawat mata punai?!" saya kehairanan.

"Orang Jabatan Haiwan yang belah perut lembu-lembu tu. Mereka tunjukkan kawat mata punai tu…" kata ayah saya menahan perasaan terharu bila mengenangkan peristiwa tersebut. Itulah yang menghairankan emak saya. Semasa dimasukkan ke dalam kandang emak dapati semua lembunya sihat petang tersebut. Malamnya, ketika ayah saya membetulkan unggun api, tidak ada tanda-tanda mencurigakan ke atas semua lembunya. Esok paginya apabila ayah saya mahu ke kebun dilihatnya seekor lembu sudah terkinjal-kinjal.

Ayah saya cuba memulihkan dengan cara mendoakan pada garam. Tetapi dia tidak berjaya. Sebab itulah ayah saya terus memberitahu Pejabat Haiwan Daerah. Kalau tidak dapat dipulihkan pun, boleh juga dijual ke pasar sekiranya pihak Pejabat Haiwan mendapati tidak ada penyakit. Ketika ayah saya membawa Pegawai Pejabat Haiwan seekor lagi lembunya tergolek. Sempatlah ayah saya menyembelih kedua-dua ekor lembu tersebut. Pihak Pejabat Haiwan mendapati tidak ada apa-apa penyakit. Untuk mempastikan sama ada termakan racun atau tidak maka mereka pun membelah perut lembu tersebut. Alangkah terperanjatnya mereka mendapati segulung kawat mata punai sebesar tekoan air di dalam perut lembu itu. Kedua-duanya terdapat segulung seekor yang sama besarnya. Setelah disahkan tidak ada termakan racun, daging lembu dijual di pasar borong saja seratus ringgit seekor.

Tidakkah menghairankan bagaimanakah segulung kawat mata punai sebesar tekoan air boleh terdapat di dalam perut lembu. Kalau pun lembu makan menelan seperti ular tentu tidak tertelan kawat mata punai seperti itu. Apa lagilah lembu makan mengunyah. Tetapi bila memikirkan tentang kekuasaan Allah, maka tidaklah menghairankan.

Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, tentulah apa saja permohonan dari makhluknya hatta dari syaitan pun akan dimakbulkanNya.

"Subhanallah..." keluh saya apabila mendengar cerita dari ayah saya.

"Ah, siapa lagi, tentu orang tu yang punya kerja!" ujar isteri saya pula, geram.

"Jangan menuduh!" ayah saya mengingatkan. "Kita tak boleh menuduh, kerana kita tak tau..." jelasnya perlahan.

Isteri saya terdiam. Dia sendiri tidak dapat mengawal perasaan bila mendengar cerita tadi. Sudah kerapkali saya ingatkan dia supaya tidak mengesyaki orang apabila menerima satu-satu musibah. Serahkan saja pada Allah menentukan yang hak dan yang batil.

"Mujur kena pada binatang…" emak saya pula bersuara. "Kalaulah terkena pada manusia…" keluhnya terasa ngeri.

Memang ngeri kalaulah segulung kawat mata punai sebesar tekoan air di dalam perut salah seorang keluarga saya. Ini bukanlah kerja syaitan, tetapi kerja manusia yang diperalatkan oleh syaitan. Lama saya terdiam memikirkan apakah tujuan mereka melakukan kerja demikian. Apakah yang menyebabkan orang sakit hati kepada keluarga kami sampai sanggup membuat kerja-kerja yang tak berfaedah.

Takdirnya salah seorang keluarga saya menderita akibat perbuatannya, apakah faedah yang mereka perolehi? Disebabkan fikiran mereka tidak sampai ke situlah maka mereka tergamak melakukannya. Mujurlah Allah masih memberikan pertolongan kepada hambaNya yang lemah. Allah menggelincirkan matlamat orang yang mempunyai perasaan irihati itu dan menyebabkan lembu menjadi sasaran. Sudah tentulah matlamat awalnya ialah dua orang dari keluarga saya.

"Dia nak tujukan pada ayah dan kau..." beritahu ayah saya apabila emak dan isteri saya sudah masuk ke dalam. Saya hanya mengangguk-angguk saja. Ini adalah sebahagian dari dugaan kepada mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu Allah. Musuh sentiasa berada di sekeliling pinggang. Kebanyakan musuh-musuh itu adalah terdiri dari manusia biasa yang diperalatkan oleh syaitan. Mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu syaitan sentiasa panas miang seperti terganggang ke api, apabila terserempak dengan mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu Allah. Sebab itulah mereka tidak senang diam apabila keadaan mereka terancam.

"Kalau kau nak tengok sendiri, cubalah..." ujar ayah saya, tersenyum. Saya tahu maksudnya menyuruh saya melakukan pengubatan cara tidur itu.

"Tak payahlah…" sahut saya menyesali kejadian yang menimpa di tengah keluarga saya. "Perkara dah lepas, sudahlah…" ujar saya selanjutnya.

Saya percaya dengan kata-kata ayah saya bahawa ada orang berniat tidak baik kepada diri saya dan ayah saya. Seperti saya katakan tadi, Allah telah menolong hambaNya yang lemah dari dianiaya. Maka itulah sasaran orang berniat jahat tidak tepat, lalu terkena kepada dua ekor lembu. Sebenarnya kalau Allah mengizinkan perbuatan mereka adalah tidak mustahil kalau sasarannya mengenai kami berdua. Ayah saya sendiri pernah menerima akibat dari perbuatan orang yang tidak menyenanginya. Kisahnya berlaku semasa saya masih kecil lagi dan arwah Tok Aji iaitu Tok Aki saya masih hidup lagi.

Di kampung ayah saya dikenali dengan panggilan Bilal Hud kerana dia menjadi bilal di surau kampung itu. Untuk menyara hidup masa itu ayah saya bekerja mengambil upah membuat kerja-kerja bertukang. Pak Kamat telah mengajaknya mengambil kontrak mengangkut pasir iaitu menggali sungai untuk membuat empangan air. Ajakan Pak Kamat ini diterima oleh ayah saya, memandangkan mereka berkawan baik. Dari segi umur memang Pak Kamat lebih tua dari ayah saya, tetapi mereka berkawan baik kerana ada persefahaman. Sebenarnya Pak Kamat merupakan seorang pawang terkenal juga. Seminggu mereka sama-sama bekerja mengangkut pasir, tiba-tiba hujan panas turun. Pak Kamat mengajak ayah saya berteduh di bawah rumpun buluh yang berdekatan.

Semasa mereka berteduh di bawah rumpun buluh inilah ayah saya melihat Pak Kamat berdiri secara tiba-tiba. Pak Kamat mendongak dengan muka meradang. Kemudian segumpal asap berpusar-pusar di udara lalu tergendeng macam papan liang lahad mahu menyerkup mereka berdua. Pak Kamat membaca menteranya dan dihembuskan ke arah asap berkepul tergendeng macam papan itu. Kemudian papan itu berkecai terus membentuk satu lembaga besar seperti orang berdiri terkangkang. Asap yang berbentuk lembaga orang terkangkang itu terbatuk-batuk beberapa kali.

"Kau jangan mungkir janji Kamat!" bentak lembaga itu keras.

"Janji apa!?" sahut Pak Kamat mendongak ke langit kerana lembaga itu terlalu tinggi seolah-olah kepalanya mencecah ke awan.

"Kau tau janji kau aje, janji aku kau tak peduli..." dia menggertap bibir.

"Kamat!" asap berbentuk lembaga menyeru namanya. "Jangan menyesal kemudian!" katanya memberi amaran.

Asap berbentuk lembaga itu hilang kemudiannya. Sebaik saja asap berbentuk lembaga manusia itu hilang, hujan panas pun berhenti. Pak Kamat pucat setelah diganggu oleh hantu tinggi yang menjelma tiba-tiba.

"Bilal Hud, biarlah kawan balik dulu…" katanya perlahan dalam keadaan rusuh.

"Kalau awak nak balik marilah sama, kalau nak habiskan kerja, suka awaklah..." ujarnya semakin resah.

"Biarlah kawan habiskan kerja ni dulu Abang Kamat…" sahut ayah saya.

Memang ayah saya tidak mahu kerja bertangguh-tangguh. Kalau boleh dia mahu cepat siapkan. Lagipun Pak Kamat sudah berjanji membayar wang secara berkongsi mengenai kerja kontrak mengangkat pasir itu. Ayah saya pula menjadi kepala (ketua) beberapa orang lagi pekerja di situ. Sebab itu ayah saya tidak boleh balik bagi mengawasi mereka yang bekerja.

"Kalau begitu biar kawan balik, kawan rasa tak sedap badan…" ujar Pak Kamat serba salah mengingatkan kejadian yang baru menimpa dirinya tadi. Sebenarnya semasa hantu tinggi menjelma dalam bentuk kepulan asap tadi, tidak siapa pun menduga ianya sedang berbalah dengan Pak Kamat. Ayah saya sendiri tidak tahu. Begitu juga dengan pekerja-pekerja yang mengangkut pasir seramai sembilan orang itu, mereka juga tidak tahu kejadian yang menimpa Pak Kamat sebentar tadi.

Setelah Pak Kamat balik, mereka semua meneruskan kerja menggali sungai dan mengangkut pasir bagi tujuan membuat empangan air. Projek empangan air itu dibuat zaman penjajah bagi membekalkan air ke sawah-sawah. Kerajaan orang putih ketika itulah memberikan kontrak tersebut kepada Pak Kamat. Apabila balik ke rumah Pak Kamat masih tidak dapat melelapkan mata semalaman itu. Walaupun dia seorang pawang terkenal tetapi keadaan yang dialaminya sekarang sukar untuk diatasi.

Sebagai seorang pawang memanglah caranya bersahabat dengan jenis-jenis syaitan seperti hantu tinggi. Kalau dia tidak memenuhi kehendak sahabatnya maka dirinya atau keluarganya akan menerima padah. Dia mesti memenuhi kehendak sahabatnya bagi membolehkan sahabatnya sentiasa mendampingi dia. Mudahlah dia memenangi hati Tuan Pegawai Daerah mendapatkan kerja-kerja seperti menggali sungai itu selagi sahabatnya sentiasa berdamping.

 

Puas dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah tersebut. Kesalahannya pada sahabatnya kecil saja, tetapi bagi sahabatnya adalah besar. Sebenarnya dia terlupa membuat Semah semasa memulakan kerja seminggu sebelum itu. Pak Kamat tidak menyembelih kambing sebagai Semah dan menyimbahkan darah kambing di kawasan tempat kerja. Semah inilah kononnya yang dituntut oleh sahabatnya. Apabila dia tidak melakukan Semah maka galang gantinya adalah nyawa manusia. Inilah yang menyulitkan Pak Kamat. Sudah tentulah korban yang dikehendakinya itu salah seorang dari pekerja di situ. Mungkin ada malapetaka yang menimpa pekerja-pekerja seramai sembilan orang, sama ada tergelincir mati lemas di dalam sungai, sama ada terkena cangkul, dan sebagainya. Pak Kamat tidak mahu pekerja-pekerjanya menjadi mangsa ketika membuat kerja-kerja tersebut.

Esoknya Pak Kamat datang juga ke situ. Dia telah memberitahu ayah saya mengenai masalah dirinya. Memang kepada ayah sayalah dia meluahkan masalah dia. Sebab itulah persahabatan mereka sangat baik.

"Susah betul hati kawan, Bilal Hud..." keluhnya bila mengenangkan amaran hantu tinggi yang direnungnya semalam.

"Awak yang salah, ade kah hantu dibuat sahabat…" ujar ayah saya bergurau. Sebenarnya ayah saya tidaklah percaya sangat dengan perkara-perkara demikian. Dia hanya menganggap tahyul saja.

"Ini bukan main-main Bilal…" tegasnya, meyakinkan hati ayah saya.

"Beginilah Abang Kamat..." ayah saya masih juga bergurau kerana disangkanya Pak Kamat terlalu percaya dengan perkara tahyol. "Kalau dia nak sangat, suruh ajelah jumpa kawan..." katanya tersengih-sengih.

"Awak jangan cakap macam tu Bilal…" Pak Kamat mengingatkan. Mukanya menjadi pucat bila mengenangkan sahabatnya menuntut janji itu. "Kawan bukan cakap main-main. Ini perkara tak boleh main-main Bilal..." ujarnya.

Ayah saya tetap dengan pendiriannya menganggap tahyul saja perkara-perkara yang dihadapi oleh Pak Kamat. Dia percaya disebabkan Pak Kamat terlalu percaya kepada tahyullah menyebabkan dirinya sentiasa dibayangi oleh khayalan tahyul itu. Bagi Pak Kamat tentulah sukar mahu menerangkannya bila ayah saya tidak percaya akan kata-katanya.

Hari itu sekali lagi hujan panas turun. Semua pekerja berlindung di bawah rumpun Aur berdekatan. Sekali lagi Pak Kamat melihat kepulan asap datang dan terdiri lembaga manusia yang tinggi, kepalanya sampai mencecah ke awan. Seperti semalam juga lembaga itu datang menuntut janjinya. Ketika ini Pak Kamat teringat akan kata-kata ayah saya mahu bertemu dengan sahabatnya itu. Tetapi Pak Kamat tidak sampai hati mahu memberitahu perkara tersebut. Lagipun dia sudah lama berkawan dengan ayah saya. Hubungan mereka sudah macam adik beradik. Dia tahu ayah saya cuma bergurau saja semasa bercakap demikian.

"Awak berilah kawan berfikir sehari dua..." Pak Kamat menengadah hantu tinggi yang menjelma dalam kepulan asap.

"Awak nak suruh Bilal Hud lawan kawan?!" jerkah lembaga tersebut marah. "Heh, awak jangan macam tu!" terkejut juga Pak Kamat kerana lembaga itu dapat mengagak apa yang tersirat di hatinya.

"Awak jangan nak menipu kawan, Kamat." bentaknya semakin marah. "Fasal Bilal Hud awak lupa beri kawan makan..." dia mengingatkan Pak Kamat lagi. "Awak jangan mungkir janji, Kamat. Nanti awak juga yang susah!" tegas lembaga itu memberi amaran.

Pak Kamat bertambah gementar. Dia semakin takut mendengar amaran yang diberikan. Selama ini dia sentiasa mematuhi apa saja kehendak sahabatnya. Dia tahu padahnya kalau membantah. Memang perkara ini tidak dapat diterangkannya kepada sesiapa saja, kerana pertemuan dia dengan sahabatnya tidak dapat disaksikan dengan pancaindera biasa. Tentulah semua orang menganggapnya tahyul belaka, seperti ayah saya menganggap dia.

Bagaimanapun orang-orang kampung hairan juga melihat keadaan dirinya. Walaupun umurnya sudah meningkat lebih lima puluh tahun, tetapi susuk badannya masih tampan. Malah, dia kelihatan seakan-akan sebaya dengan anak lelakinya sendiri yang sudah berumur tiga puluh tahun. Dia juga boleh mengangkat barang yang berat-berat seperti batang sagu yang tidak dikerat-kerat, kayu tiang jambatan dan sebagainya. Kekuatan dan ketampanannya memang mengkagumkan orang. Tetapi orang tidak tahu rahsia di sebalik kekuatan dan ketampanan dia selama ini.

"Fasal Bilal Hud, awak lupakan kawan!" bentak lembaga tinggi di dalam kepulan asap itu.

"Bukan, dia tak ada kena mengena!" Pak Kamat mempertahankan ayah saya.

"Kalau awak tak berkawan dengan dia, tentu awak tak lupa nak beri kawan makan..." katanya mengingatkan Pak Kamat.

"Tidak, bukan salah dia!" ujar Pak Kamat serba salah. "Kawan yang salah. Berilah kawan tempoh berfikir sehari dua lagi…" jelasnya cuba mententeramkan kemarahan sahabatnya itu.

Selepas itu asap berkepul itu hilang dari pandangan mereka yang sama-sama berteduh di bawah rumpun Aur. Mereka tidak sedar bahawa kepulan asap itu ialah jelmaan hantu tinggi yang hanya dapat dilihat oleh Pak Kamat. Setelah kabus tebal itu hilang, hujan panas juga turut berhenti. Mereka kembali membuat kerja masing-masing. Seperti semalam juga Pak Kamat balik dulu kerana tidak sihat badan. Ayah saya terus menggantikannya mengawas pekerja-pekerja.

"Kalau kawan tak datang esok, awak sajalah teruskan, Bilal…" pesannya semasa mencapai basikal untuk balik ke rumah. "Kalau Abang Kamat tak sihat, berehatlah di rumah dua tiga hari dulu..." beritahu ayah saya. Kesihan juga dia melihat Pak Kamat seperti orang tidak siuman setiap kali hujan panas turun.

Esoknya memang Pak Kamat tidak datang. Ayah saya menjangka tentulah Pak Kamat sakit. Sejak semalamnya lagi dia sudah melihat Pak Kamat tidak cukup sihat. Mukanya pucat dan sentiasa rusuh tidak tenteram. Bagaimanapun kerja-kerja menggali sungai diteruskan juga. Ayah saya mahu kerja-kerja itu disiapkan seperti yang telah dijanjikan. Paginya apabila dia dan pekerja-pekerjanya sampai di tempat kerja didapati pasir yang sudah dinaikkan ke tebing semuanya sudah ditolak semula ke dalam sungai. Pasir sudah bertimbun semula di dalam sungai. Sekurang-kurangnya memakan masa seminggu untuk mengangkutnya naik ke tebing semula. Bermakna kerja mereka bertambah lewat seminggu.

"Macam mana ni Bilal?" salah seorang yang bekerja di situ bernama Usin Rimau bertanya. Hairan juga dia bagaimana pasir-pasir tersebut boleh dikaut semula masuk ke sungai. Kalau kerja manusia tentu sekurang-kurang tiga puluh atau empat puluh orang yang melakukannya. Ayah saya juga hairan. Bagaimanapun dia menyuruh mereka semua mengangkut semula pasir naik ke tebing.

"Susah kita macam ni, Bilal." kata Usin Rimau lagi.

"Kita buat ajelah kerja kita..." ayah saya mententeramkan pekerja-pekerja yang naik radang melihat keadaan tersebut.

Hari itu mereka terus bekerja seperti biasa. Terpaksa bersusah payah mengangkut semula pasir naik ke tebing. Sama ada lambat atau cepat siap kerjanya mereka sudah tidak peduli lagi. Tetapi yang bermain di fikiran mereka siapakah punya angkara yang melakukannya. Petangnya apabila mereka balik ke rumah semua perkakas-perkakas kerja mengaut semula pasir di tebing ke dalam sungai.

Tetapi anehnya apabila mereka datang lagi esok paginya, semua pasir yang ada di tebing sudah dikaut ke dalam sungai. Ayah saya mula mengesyaki sesuatu. Tidak mungkin ianya dilakukan oleh manusia. Adalah mustahil manusia datang pada sebelah malam semata-mata mahu mengaut pasir di tebing dimasukkan ke dalam sungai.

"Tak apalah petang nanti aku jumpa Pak Kamat." ujar ayah saya kesal dengan kejadian tersebut.

"Lebih baik kita intai saja malam ni, Bilal." Usin Rimau mencadang. Geram juga dia kerana ada orang berani mengganggu kerjanya. Kalau berani mengapa tidak berani melakukan ketika semua pekerja-pekerja ada di situ. Mengapa mesti bersembunyi kalau mahu tunjuk keberanian?

"Awak semua letih..." ayah saya tidak mahu menyiasatnya. Dia bimbang kalau bertemu dengan orang yang melakukan tentulah terjadi pergaduhan. Masakan pekerja-pekerja yang sudah berpenat lelah itu dapat menahan sabar, bila ada orang cuba mengkhianati kerja mereka.

"Awak semua letih, buat apa nak berjaga-jaga malam hari. Ini semua kerja aku dengan Pak Kamat, serahkan saja pada kami." kata ayah saya meminta Usin Rimau bertenang.

Tempat mereka mengangkut pasir itu memang jauh dari kampung, kira-kira sebatu jaraknya ke pinggir hutan. Sudah tentulah bukan kerja orang-orang yang tinggal di kampung mahu ke situ semata-mata mahu mengkhianati kerja mereka. Lagipun siapa orang yang berani memperolok-olokkan kerja Pak Kamat, kerana mereka semua tahu projek mengangkut pasir itu kepunyaan Pak Kamat.

"Kawan seorang pun sanggup mengintainya, Bilal..." Usin Rimau menggertap bibir sambil menggenggam hulu parangnya. "Biar malam ni kawan intai, kawan nak lihat jantan siapa berani mengganggu kerja kita." ujarnya bersemangat.

Semua pekerja-pekerja itu sanggup menyiasat siapa yang mahu melakukan kerja mengaut semula pasir ke dalam sungai. Mereka serentak bertekad akan menentang musuh yang mengkhianati mereka. Soal sudah letih kerana bekerja seharian tidak perlu difikirkan. Mereka tidak mahu tenaga mereka menjadi sia-sia akibat perbuatan orang yang mengkhianat. Mahu tidak mahu ayah saya terpaksa mengalah. Dia juga bersetuju untuk sama-sama menyiasat. Kalau kerja manusia, apakah tujuan mereka melakukannya? Siapakah yang menyuruh? Apakah faedahnya? Adakah mereka mendapat keuntungan apabila mengganggu kerja-kerja tersebut.

Kalaulah kerja itu cepat siap tentu semua orang kampung akan senang. Kerajaan akan membina empangan batu di situ yang boleh menampung pengairan ke sawah meliputi satu mukim yakni termasuk beberapa kampung seperti Kampung Tegom, Kampung Gasing, Kampung Cendak, Kampung Lepam, Kampung Tangah dan Kampung Hilir. Pesawah-pesawah tidak perlu lagi menggunakan empangan papan menampung air dari anak-anak sungai kecil bagi mendapatkan bekalan air.

Kadangkala terpaksa berkongsi tujuh lapan orang untuk membina empangan papan. Sawah mereka juga kekurangan air kecuali di bahagian berhampiran dengan anak-anak air. Tetapi rancangan mendirikan empangan batu itu boleh mengairkan kawasan tinggi, yang selalunya tidak dapat ditanam padi kerana tidak dapat air. Alangkah baiknya kerja-kerja untuk mempercepatkan pembinaan empangan batu tersebut. Sebab itu ayah saya tidak percaya orang-orang dari kampung yang melakukannya. Walau bagaimanapun kerana Usin Rimau dan kawan-kawannya sanggup menyengkang mata untuk menyiasat, ayah saya juga bersedia mengikut kemahuan mereka. Di samping itu mereka juga tidak mahu memberitahu Pak Kamat, kerana orang tua itu masih tidak sihat. Mereka tidak mahu mengganggu Pak Kamat, mana tahu penyakitnya akan bertambah teruk bila mendengar kejadian yang menimpa pekerja-pekerjanya.

Kira-kira jam 11 pagi hujan panas turun lagi seperti beberapa hari sebelumnya. Mereka semua berteduhan di bawah rumpun aur yang berhampiran di situ sementara menunggu hujan panas berhenti. Tidak lama kemudian ayah saya merasa sakit kepala. Dia memberitahu Usin Rimau kepalanya terlalu sakit bagaikan ditusuk dengan besi tajam. Tiba-tiba saja ayah saya pengsan tidak sedarkan diri menyebabkan semua pekerja-pekerja kelam-kabut. Sebaik saja hujan panas berhenti Usin Rimau pun menyuruh kawan-kawannya tinggalkan saja kerja dan membawa ayah saya balik ke rumah. Sampai di rumah ayah saya masih belum sedarkan diri. Satu hari satu malam keadaannya tetap tidak berubah. Memandangkan keadaan semakin tenat, nenek saya menyuruh panggilkan saja Pak Kamat. Cuma Pak Kamat saja di kampung itu yang dikenali sebagai pawang. "Pak Kamat pun sakit..." beritahu Usin Rimau. "Kalau begitu panggilkan Mahat" kata nenek saya seterusnya. "Agaknya Mahat boleh mencuba-cubakan..." jelasnya supaya diberitahu segera Pak Tua Mahat saya, iaitu anak nenek saya yang tua.

Dalam masa Usin Rimau masih teragak-agak mahu memanggil Pak Tua Mahat, Tok Aji pun sampai bersama nenek saya sebelah ayah. Mereka berdua sudah pun diberitahu mengenai ayah saya yang tiba-tiba saja pengsan.

"Macam mana anak kita ni besan?" tanya Tok Aji pada nenek saya.

"Entahlah Aji..."sahut nenek saya rusuh. "Kena dekat tempat dia mengangkut pasir itulah. Tak semena-mena hujan panas kata Usin, lepas tu teruslah dia tak sedar diri." beritahu nenek.

Tidak lama kemudian Usin Rimau pun terus memanggil Pak Tua Mahat. Apabila dia sampai nenek pun menyuruh Pak Tua Mahat mengubati ayah saya yang terlantar tidak sedarkan diri.

 

 

TAMAT

*Untuk Arwah, ABDUL MULUK BIN DAUD @Tok Awang Ngah… AL-FATIHAH

Wednesday 21 September 2022

S I R I B E R K E L A H I D E N G A N S Y A I T A N | T O K A W A N G N G A H

 

Hantu Botak Dalam Lombong 

BARU saja saya meneguk kopi di rumah Aki Sahak, dua orang lelaki tiba-tiba memanggilnya dari tengah halaman. Aki Sahak ini memang kenal baik dengan Pak Tua Mahat saya. Sebab itulah dia juga sangat menghormati saya.

Dua orang lelaki itu saya lihat dalam keadaan cemas. Tetapi dia tidak terus memberitahu tujuan kedatangannya. Mereka berdua seolah-olah terkejut melihat saya ada di rumah Aki Sahak. Mungkin saya orang baru di situ, dan mereka menyangka saya juga datang meminta pertolongan dari Aki Sahak. Memang ramai orang dari kampung-kampung jauh datang ke kampung tempat Aki Sahak tinggal ini. Mereka tahu Aki Sahak selalu dicari orang kerana mahu berubat. Sudah lebih dua puluh tahun Aki Sahak pindah ke kampung tersebut apabila berkahwin dengan isterinya Makda Saodah.

"Apa halnya?" tanya Aki Sahak.

"Adalah sikit perkaranya Aki..." sahut salah seorang darinya.

"Emm, kalau iya pun naiklah dulu" pelawanya sambil undur sedikit dari muka pintu. Dua orang lelaki itu naik ke rumah. Mereka duduk bersebelahan dengan saya. Saya menghulurkan tangan kepada mereka berdua.

"Mat Deh..." ucap saya ketika bersalaman.

"Sali…" sahut lelaki yang duduk berhampiran dengan saya tersenyum.

Kami mengangguk tanda mula berkenalan.

"Saya Tonel" seorang lagi memperkenalkan diri.

"Mat Deh ni orang kampung aku..." Aki Sahak menerangkan kepada mereka.

"Sengaja datang nak jenguk-jenguk aku. Kebetulan pula dia baru tukar kerja ke sini." ujarnya lalu memanggil isterinya supaya membawakan dua buah cawan lagi.

Tidak lama kemudian Makda Saodah keluar membawakan dua buah cawan kosong. Dia menuangkan kopi lalu menghulurkan kepada dua orang lelaki tadi. Kami tidak banyak berbual. Sali dan Tonel kelihatan resah saja hendak memberitahu sesuatu. Seolah-olah kehadiran saya di situ mengganggu mereka hendak bercakap kepada Aki Sahak.

"Cakaplah, apa halnya?" kata Aki Sahak setelah masing-masing terdiam.

"Begini Aki..." jelas Sali tergagap-gagap. "Anak Bang Amud di baruh jatuh lombong, sampai sekarang tak jumpa." dia terus memberitahu perkara yang sebenar tujuan kedatangan mereka.

"Huss, mcam mana boleh jatuh lombong?" Aki Sahak macam terkejut.

"Mandi dengan kawan-kawannya. Tiba-tiba dia tenggelam, sampai sekarang tak jumpa." Tonel pula menerangkan.

Aki Sahak terdiam. Saya lihat dia merenung sesuatu yang sukar hendak dilihat dengan mata kasar. "Banyak sangat dia nak korban. Bulan dulu lelaki tua, sekarang ni pula kanak-kanak, huss..." Aki Sahak mendengus macam menyimpan dendam.

Dengan tidak banyak bicara saya dan Aki Sahak terus mengikut dua lelaki tadi menuju ke lombong yang dikatakan. Saya dapati sudah ramai orang berkumpul di tepi lombong. Penyelam-penyelam yang didatangkan dari bandar juga sudah silih berganti menyelam ke dalam air. Semua penyelam itu memberitahu susah mahu melihat ke dalam air kerana terlalu keruh. Sebaliknya orang-orang kampung sudah tidak sabar lagi. Budak yang mati lemas di dalam lombong itu sepatutnya sudah ditemui. Lombong itu bukanlah luas sangat. Tetapi bagaimana pula mayat budak itu tidak ditemui lagi? Ada juga setengah pihak mencadangkan supaya menunggu saja sampai mayat tersebut timbul. Kononnya kalau mayat mati lemas ianya akan timbul apabila perut sudah kembung dipenuhi air. Tetapi sejak dari tenggelamnya kira-kira pukul 10 pagi, sehingga jam 5.30 petang mayat berkenaan tidak juga timbul.

Ketua Kampung Pak Semail sudah berbincang dengan ketua penyelam-penyelam itu supaya diusahakan secara tradisional untuk menemui semula mayat budak tersebut. Sebaliknya ketua penyelam-penyelam itu seorang lelaki India menolak kemahuan Ketua Kampung Pak Semail. Dia tetap berpendapat kegagalan usaha menemui mayat budak yang tenggelam itu disebabkan air lombong terlalu keruh.  Abang Amud yang dikatakan oleh Sali tadi, iaitu ayah kanak-kanak berkenaan sudah mula tidak yakin lagi anaknya boleh ditemui. Dia tahu anaknya sudah mati lemas. Tetapi mengapa mayat anaknya tidak timbul ke permukaan air? Kalaulah hendak dikatakan tenggelam dalam lumpur adalah mustahil.

Kemudian saya nampak Aki Sahak menarik bahu Abang Amud ke satu tempat yang jauh dari orang ramai berkumpul.  Saya tidak tahu apakah yang dikatakan oleh Aki Sahak kepadanya. Saya bersama Sali dan Tonel asyik memerhatikan penyelam-penyelam silih berganti menyelam ke dalam lombong. Sehingga jam 7.00 malam anak lelaki Abang Amud tidak juga ditemui. Ketua penyelam itu memberitahu orang-orang kampung kerja menyelam itu ditangguhkan hingga ke esok harinya.  Mereka tidak dapat lagi menyelam disebabkan hari semakin gelap.

Penghulu Mukim yang ikut menyaksikan peristiwa tersebut cuba mententeramkan keluarga Abang Amud.  Dia nasihatkan supaya keluarga Abang Amud bersabar hingga besok paginya. Bagaimanapun penyelam-penyelam itu tetap berkhemah di tepi lombong untuk memudahkan kerjanya pada esok pagi. Tidak lama selepas penyelam-penyelam itu menangguhkan kerja-kerja menyelam, saya nampak Aki Sahak bersama Pak Semail menghampiri Penghulu Mukim yang baru saja mahu meninggalkan tempat itu. Entah apa pula dicakapkan oleh Aki Sahak kepadanya tidak pula saya ketahui. Cuma dalam samar-samar senja saya lihat Penghulu Mukim terangguk-angguk kepala saja. Sekali-sekali dia tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Aki Sahak.

Dalam masa saya asyik memerhati Aki Sahak bersama Pak Semail bercakap-cakap dengan Penghulu Mukim, tiba-tiba Abang Amud datang menepuk bahu saya. Dia tersengih-sengih saja menjabat tangan saya. Sali dan Tonel yang ada bersama lalu memperkenalkan kami.

"Aki Sahak dah beritahu tentang Mat Deh ni..." kata Abang Amud masih dalam keadaan rusuh. "Jadi, saya nak minta tolonglah pada Mat Deh. Tolong benar-benarlah Mat Deh..." ujarnya dengan penuh harapan.

"Eh, tolong apa ni?" sahut saya tersengih-sengih juga.

"Janganlah berdalih lagi Mat Deh. Saya minta tolong benar-benar ni. Aki Sahak minta saya sendiri sampaikan kepada Mat Deh." Abang Amud mendesak.

Saya menjadi serba salah dengan permintaan Abang Amud itu. Saya berpaling ke arah Aki Sahak. Dia bertiga dengan Penghulu Mukim dan Pak Semail datang menghampiri saya.

"Kalau boleh tolonglah apa-apa pun Mat Deh..." Penghulu Mukim menghulur tangan kepada saya. Cepat-cepat saya menyambut tangan Penghulu Mukim. Belum sempat saya menyahut Aki Sahak sudah menyuruh saya diam. Aki Sahak meminta saya membantunya dalam usaha mencari mayat anak Abang Amud yang tenggelam itu.

"Lombong ni bukannya sungai. Kalau sungai bolehlah kita kata budak tu hanyut. Tentu ada sesuatu yang menyorokkan..." demikian Aki Sahak menerangkan kepada orang-orang kampung yang berkumpul di tepi lombong. Penyelam-penyelam yang bertugas juga ada sama menyaksikan.

 Mereka juga tidaklah membantah bila Aki Sahak menawarkan diri untuk menolong kerana mereka sudah pun mengambil keputusan menangguhkan kerja-kerja menyelam.

"Perlukah bara api dan kemenyan?" soal Abang Amud.

"Tak payah. Ini bukan kerja asap kemenyan. Saya dan Ustaz Mat Deh ni tahulah nak buat macam mana..." Aki Sahak memberi jaminan. Sedangkan saya kebingungan dengan keputusan Aki Sahak. Saya tidak tahu bagaimanakah cara mahu menolongnya. Tetapi saya tidak berani untuk bertanyakan kepadanya. Lagipun dia berkali-kali menyebut fasal Pak Tua Mahat iaitu bapa saudara saya yang sudah lama meninggal dunia. Dia memberitahu tentang Pak Tua Mahat pernah memberitahu dia mengenai diri saya.

"Kita buat Mat Deh, kita buat kerana Allah." Aki Sahak berbisik kepada saya.

Sebelum memulakan rancangan Aki Sahak itu kami semua menunaikan fardhu Maghrib terlebih dahulu. Selesai sembahyang Maghrib barulah Aki Sahak menerangkan bahawa dia mahu menidurkan saya. Barulah saya faham bahawa cara menidurkan orang satu cara perubatan yang memang pernah diajar oleh Pak Tua Mahat kepada saya, tetapi jarang saya amalkan. Saya pun bersetujulah untuk membantu Aki Sahak.

 Saya sendiri yang akan ditidurkan, dan rawan (yakni roh sewaktu kita tidur) saya sendiri yang dikeluarkan mencari budak tersebut disembunyikan. Bagi orang-orang yang tidak memahami mungkin merasa pelik bagaimanakah cara demikian boleh dilakukan. Tetapi bagi mereka yang sudah mempelajari Usuluddin tidak ada apa yang hendak dipelikkan. Di sini saya tidak mahulah menerangkan, tetapi eloklah sesiapa yang ingin mengetahuinya bertanyalah kepada ahli-ahli Usuluddin.

Dipendekkan cerita, dibentangkanlah tikar di bawah sepohon pokok. Sali yang masih mempunyai air sembahyang diminta oleh Aki Sahak berdiri di belakang saya untuk menyambut tubuh saya apabila rebah ke belakang. Segala apa yang hendak dilakukan oleh Aki Sahak itu memang saya sudah ketahui. Sebenarnya Aki Sahak juga tahu bahawa saya boleh tidur sendiri dengan tidak payah dipandu olehnya, tetapi saya sendiri berkehendakkan dia mengawas saya kalau-kalau apa yang saya hadapi nanti sukar dilawan.

"Mulakan zikir..." bisik Aki Sahak. Saya hanya tersenyum. Kerana apa yang dicakapkan oleh Aki Sahak itu bukanlah ditujukan kepada saya. Aki Sahak memang dapat merasa diri seseorang itu sama ada berzikir atau tidak. Dalam beberapa saat saja saya merasakan dunia menjadi gelap. Hanya saya dengar suara Aki Sahak saja memerintahkan saya supaya terus berzikir. Ketika ini saya merasakan diri saya melayang ke udara. Apabila Aki Sahak menyuruh melihat diri sendiri, saya nampak tubuh saya terbaring di atas tikar.

"Sekarang kamu cari di mana anak Abang Amud yang tenggelam di dalam lombong ni pagi tadi" suara Aki Sahak begitu jelas kedengaran ke telinga saya.

Dengan tidak bertangguh saya rasakan diri saya terus masuk ke dalam air lombong. Semuanya gelap gelita tidak kelihatan apa-apa. Kemudian saya dengar Aki Sahak menyuruh saya membacakan Surah Waddhuha. Setelah saya bacakan ayat berkenaan semuanya menjadi terang benderang. Ketika ini saya nampak di tengah lombong satu lembaga manusia yang duduk bersila di tengah dasar lombong sambil meriba budak lelaki.

"Dah jumpa" bisik saya perlahan sambil memerhatikan kelakuan lembaga tersebut. Saya berlegar-legar di dalam air itu mahu menghampiri lembaga yang duduk bersila di tengah dasar lombong sambil meriba budak lelaki. Tiba-tiba dia berpaling memerhati ke arah saya. Matanya kelihatan merah menyala-nyala seperti puntung api.

"Lepaskan budak tu..." perintah saya mengancam lembaga tersebut. Tetapi dia tidak menghiraukan saya. Saya terus memberi isyarat supaya dia melepaskan mayat anak Abang Amud yang di ribanya. Memang saya tahu budak tersebut tidak boleh diselamatkan lagi, tetapi tidak patut puaka air itu tidak mahu lepaskan. Kalau puaka air itu berkeras saya sudah merasakan geruh telah menanti. Sama ada saya akan menerima geruh atau sebaliknya adalah kuasa Allah saja. Tetapi puaka air itu tetap jenis syaitan yang menjadi musuh semua anak Adam. Syaitan juga mempunyai ilmu yang hebat kalau anak-anak Adam tidak mempunyai cukup persediaan.

"Lepaskan!" perintah saya lagi mengancam lembaga botak itu. "Budak ini mengganggu anak cucu aku bermain!" sahut lembaga botak itu menyahut cabaran saya.

"Aku cakap lepaskan!" saya terus memberi amaran.

"Mana budak tu tau anak cucu kau bermain. Kau tubuh halus, kenapa tak menyisih semasa budak tu mandi di sini!" ujar saya mengingatkan.

Lembaga botak itu tetap menggelengkan kepala. Dia berkeras tidak mahu melepaskan mayat anak Abang Amud.

"Lanarjumannakum walayamassannakum minna ‘azabun aliim..."

saya menghembus perlahan-lahan ke arah lembaga tersebut. Setiap kali saya menghembuskan nafas berpuluh-puluh anak panah dengan api menyala menjunam ke tubuh lembaga botak itu. Saya nampak lembaga botak itu menggeliat-geliat setiap kali anak panah berapi itu singgah ke tubuhnya. Dia menjerit-jerit sambil meronta meminta saya berhenti membacakan ayat tersebut.

"Ampun minta maaf kami. Ampun..." laung lembaga botak itu menahan kesakitan. "Kami tahu awak anak buah Tok Pawang Mahat. Kami tahu, tapi janganlah seksa kami macam ni." dia merintih-rintih.

"Kalau kau tak mahu dipanah dengan api, lepaskan budak tu" perintah saya lagi. Lembaga itu tidak menyahut. Dia hanya terkial-kial merintih meminta belas kasihan dari saya. Untuk menguji sama ada dia benar-benar mahu mengaku kalah, saya cuba berhenti dari berzikir. Sebaik saja saya berhenti berzikir tiba-tiba dia melontarkan sesuatu ke arah saya. Berdecap rantai besi memukul kepala saya. Belum sempat dia mengulangi untuk melemparkan rantai besi itu ke arah saya, cepat-cepat saya menguatkan zikir di dalam hati saya.

"Wah, kau nak main-main ye. Kau nak duga aku, kau nak duga!" saya mengherdik.

Dalam keadaan ini saya mendengar suara Aki Sahak membisikkan kepada saya, "Allahu Akhbar!".

Lantas saya mengucapkan Allahu Akhbar tiga kali, kemudian menghembuskan ke arah lembaga botak itu. Seluruh kawasan lombong itu bergegar bagaikan ditimpa letusan gunung berapi. Tubuh lembaga botak itu berputar-putar seperti debu ditiup angin. Dia melolong-lolong meminta saya berhenti dari mengucapkan Allahu Akhbar.

"Minta ampun kami, minta ampun..." dia merintih-rintih menahan gegaran yang menggoncangkan seluruh kawasan lombong.

"Sekarang lepaskan budak tu! Lepaskan anak Abang Amud. Budak tu dah mati lemas, tak ada guna kau sorokkan dia!" jerkah saya mengancam.

"Tolonglah berhentikan dulu gegaran ni." katanya merayu-rayu.

Apabila saya berhenti menghembuskan nafas, gegaran itu berhenti. Dia tercongok semula di tengah dasar lombong meriba mayat anak Abang Amud. Saya lihat dia merintih-rintih seperti orang menahan seksaan yang berat. Tetapi dia tetap berdegil tidak mahu mengalah. Dalam keadaan tergigil-gigil menahan kesakitan itu lembaga berkenaan tidak juga melepaskan mayat anak Abang Amud yang diribanya.

"Kalau kau berdegil aku bakar kau lagi!" tegas saya mengingatkan.

"Nantilah dulu tunggu sampai kami puas bermain-main dengan budak ni" dia tersenyum mengerling ke arah saya seolah-olah mahu mengejek.

"Nampaknya awak tak serik!" bentak saya.

"Kami tak mahu lawan ustaz. Kami nak bermain-main dulu dengan budak ni" ujarnya ketawa kecil. "Kalau nak bermain kenapa tak main dengan anak cucu kau. Mau tak kalau aku ambil anak cucu kau buat mainan?" saya cuba mengujinya.

"Apa salahnya kalau ustaz nak bertukar-tukar..." dia semakin galak ketawa.

Ketika ini saya terdengar suara Aki Sahak mengingatkan supaya syaitan jangan dilayan. Memang syaitan sengaja melalaikan kita dengan janji-janji kosongnya. Sebab itu kalau berhadapan dengan syaitan jangan lagi dilayan bercakap. Teruskan saja menyerang sampai dia tidak dapat bertahan. Saya tahu memang syaitan tidak boleh dilayan. Tetapi saya cuma mahu menduga saja. Saya mahu tahu sejauh mana permainan puaka air yang menjelma sebagai lembaga botak itu. Sebaliknya Aki Sahak mahu saya bertindak cepat. Mungkin orang ramai yang berkumpul di darat sudah tidak sabar lagi menunggu. Segala pertelingkahan saya dengan lembaga botak itu memang dapat didengar dengan jelas oleh mereka. Bagi orang-orang yang tidak mengetahui seperti penyelam-pemyelam yang ada di situ, mungkin mereka merasakan saya sedang merepek atau bercakap sendirian. Atau bercakap untuk memperolok-olokkan orang ramai saja.

Tetapi kuasa Allah itu tidak dapatlah hendak saya tunjukkan kepada sesiapa. Kecuali mereka yang memahami dan mempelajarinya saja. Pengalaman yang sedang saya lalui itu hanya boleh diketahui oleh mereka yang mengetahui tentang ilmu Allah saja.

"Panah saja dengan lanarjumannakum..." bisik Aki Sahak. Saya mendengar suara Aki Sahak sayup-sayup dari permukaan air.

"Besarkan tubuh kamu, kerana roh manusia boleh membesar tidak ada had." kata Aki Sahak. Saya menarik nafas. Ketika ini saya nampak dengan jelas tubuh saya menjadi besar berkali-kali ganda. Lantas saya tangkap tengkuk lembaga botak itu.

 

"Lepaskan" perintah saya keras.

"Ampun..." sahut lembaga botak tergigil-gigil. "Taubat, kami tak buat lagi. Kami akan lepaskan budak ni" katanya gementar.

Tetapi dia tetap meriba budak itu.

"Walauanna quranna suyyirat bihiljibalu..."

saya berdoa dengan khusyuk dan taqwa kepada Allah. Lalu saya hembuskan ke kepala lembaga botak itu. Kepala itu menjadi hancur seperti debu berterbangan. Jeritannya bergema ke segenap pelusuk. Hanya saya saja yang dapat mendengar jeritannya yang menggema itu. Kalaulah semua orang yang berkumpul di tepi lombong itu dapat mendengarnya, tentulah mereka sedar betapa besarnya kuasa Allah. Hanya ayat-ayat Allah saja dapat menghancur-leburkan segala gangguan syaitan. Malah ayat-ayat yang dibacakan setiap hari sewaktu menunaikan fardhu sembahyang itu boleh menggegarkan jantung syaitan. Sekiranya mereka dapat melihat bagaimana terancamnya syaitan dengan ayat-ayat Allah itu, sudah tentu mereka insaf dengan diri mereka.

Inilah yang berlaku ke atas lembaga botak jelmaan dari puaka air itu. Dia tidak dapat menyembunyikan dirinya apabila dibacakan Surah Waddhuha. Kemudian seluruh anggotanya menjadi debu bila dibacakan ayat-ayat Quran. Kalaulah dengan ayat-ayat Qur’an gunung boleh dihancur-leburkan, apa sangatlah kepada Allah kalau mahu meleburkan makhluknya seperti syaitan itu. Sebaik saja tubuh lembaga botak itu berkecai menjadi debu, mayat anak Abang Amud itu terlepaslah dari ribaannya.

 "Sudah dilepaskan mayat budak tu, kejap lagi timbullah." saya memberitahu Aki Sahak.

"Baiklah sekarang masuk semula ke dalam tubuh kamu, dan buka mata." saya dengar Aki Sahak memberi arahan. Perlahan-lahan saya masuk ke tubuh yang terbaring. Kemudian semuanya menjadi gelap. Apabila saya buka mata semua orang masih mengelilingi saya.

Tatkala saya mahu duduk, terdengar dua tiga orang memekik dari tepi lombong,

"Itu dia, itu dia...mayat budak tu dah timbul di tengah lombong!" kata mereka kegembiraan.

Tiba-tiba saya tergamam bila Abang Amud memeluk leher saya. Terasa air matanya hangat menitis di atas bahu saya. Ketika ini orang ramai sudah mula menarik jenazah anak Abang Amud ke tepi. Ketua penyelam itu segera mendapatkan Penghulu Mukim, dan dia sibuk menyediakan laporan mengenai gerakan mencari mayat budak tersebut. Di samping itu, dia juga telah melaporkan ke ibu pejabatnya mengenai kejayaan menemui mayat itu. Penyelam-penyelam itu juga mengambil keputusan untuk membatalkan perkhemahan di situ, di samping mahu membawa jenazah berkenaan ke hospital terlebih dahulu. Sementara Abang Amud membantah tidak mahu lagi jenazah anaknya dibawa ke hospital.

Setelah Penghulu Mukim memberi jaminan kepada Abang Amud bahawa mayat anaknya tidak akan dibedah apabila dibawa ke hospital, barulah Abang Amud setuju. Saya juga nasihatkan Abang Amud supaya bekerjasama dengan penyelam-penyelam tersebut kerana terpaksa membawa jenazah anaknya ke hospital terlebih dulu sebagai urusan rasminya.

"Mereka juga bersusah payah menolong Abang Amud" kata saya menententeramkan Abang Amud.

"Ah, dia nak cari nama je..." rungut Abang Amud mendongkol fasal Ketua Penyelam itu pada mulanya tidak mahu kerjasama dari Aki Sahak.

"Mereka juga sama berpenat lelah…" Aki Sahak juga mengingatkan dia. "Dia datang kerana tugas, sebab itu dia perlukan bawa jenazah budak ni ke hospital. Biarlah tugasnya selesai..." Penghulu Mukim memujuk Abang Amud.

Malam itu juga jenazah anak Abang Amud dibawa ke hospital. Sementara Penghulu Mukim sendiri mengikutnya bagi mengelakkan dilakukan pembedahan ke atas mayat berkenaan. Kira-kira pukul 2.00 pagi barulah jenazah itu dapat dibawa balik ke rumah. Semasa orang-orang kampung berkumpul di rumah Abang Amud menunggu kepulangan jenazah anaknya, satu bunyi menggerunkan kedengaran dari arah lombong. Bunyi itu bergaung kuat seperti air disedut. Sali merapati saya dan bertanyakan apakah bunyi yang kedengaran dari lombong tersebut. Saya sendiri tidak tahu apakah harus dijawab. Sebenarnya saya tidak tahu mengenai latar belakang kampung tersebut. Tentulah saya tidak tahu kejadian yang berlaku ke atas anak Abang Amud. Hanya beberapa minggu sebelum itu seorang pengail tua mati lemas di lombong berkenaan.

Sali bertanyakan kepada saya kerana disangkanya saya dapat melihat semua keadaan di dalam lombong. Memanglah sukar bagi saya mahu menerangkan kepada Sali bagaimana saya melihat lembaga botak di dalam lombong tadi, tetapi bukannya melihat semua penjuru yang terdapat di dalam lombong. Bunyi bergaung macam air disedut itu berulang kali semakin kuat. Saya juga terkejut dengan bunyi yang menggerunkan itu. Saya lihat Aki Sahak melelapkan mata menggunakan makrifat mahu mencari punca bunyi tersebut.

"Nampaknya, dia nak minta geruh juga…" bisik Aki Sahak. Mukanya kelihatan garang seperti menghadapi musuh di hadapan. Saya merasakan bulu roma saya tegak. Ini bukanlah bererti saya bimbang menghadapi gangguan syaitan, tetapi secara automatik apabila zikir dikuatkan di dalam hati, bulu roma mudah saja tegak. Apalagi tatkala mengetahui akan gangguan syaitan.

"Kalau dia nak geruh, kita bagi geruh!" sahut saya macam mencabar lawan.

"Ini geruh lain yang dipintanya." kata Aki Sahak menggertap bibir. "Dia nak minta aku sendiri. Laknat...!"

kemarahan terbayang pada wajah Aki Sahak. Ketika ini jenazah anak Abang Amud belum sampai lagi ke rumah. Kira-kira dalam pukul 12.30 tengah malam. Bunyi bergaung macam air disedut itu cukup jelas kedengaran kepada orang ramai yang berkumpul di rumah Abang Amud menunggu kepulangan jenazah.

"Kalau begitu kita mesti ke hospital." Sali mengesyorkan. "Mana tahu kalau diganggunya pula jenazah budak tu" dia kelihatan cemas menghadapi suasana demikian.

"Nanti dulu..." ujar Aki Sahak.

"Selalukah bunyi macam tu kedengaran?" tanya saya pada Sali.

"Tak pernah..." katanya menggelengkan kepala. "Seumur hidup saya tak pernah dengar bunyi macam tu" jelasnya semakin bertambah bimbang.

"Macam mana?" Aki Sahak pula bertanya kepada saya.

"Aki dah biasa di sini, terpulanglah pada Aki." sahut saya perlahan.

 

Saya tahu Aki Sahak mahukan buah fikiran saya bagaimana mahu menghadapi keadaan selanjutnya. Cuma saya dan Aki Sahak saja yang tahu mengenai hantu botak jelmaan puaka air itu. Sebab itu dia bertanyakan kepada saya, kerana jenis puaka air ini sama juga dengan syaitan yang mesti dimusuhi oleh anak-anak Adam.

Dari Kak Liah isteri Abang Amud kami diberitahu mengenai lombong itu adalah bermula dari sungai mati iaitu teluk sungai yang terputus apabila sungai menjadi lurus. Kata Kak Liah nenek moyang Abang Amudlah yang menjaga lombong berkenaan. Semasa arwah ayah Abang Amud masih hidup dia sering membuat ancak sebagai makanan kepada penunggu di situ. Dia melakukannya adalah mengikut seperti mana dipesankan oleh ayahnya pula. Mereka turun temurun membuat ancak di tepi lombong setahun sekali dengan meletakkan ayam separuh masak di situ.

Tetapi setelah kedatangan Aki Sahak ke situ, Abang Amud datang belajar agama dari Aki Sahak. Sejak itu dia tidak pernah lagi melakukan kerja-kerja memberi makan penunggu. Seperti yang diceritakan oleh Kak Liah, sejak beberapa keturunan Abang Amud lombong itu memang sudah ada di situ. Lombong itu berasal dari sungai mati seperti yang disebutkan tadi. Lama kelamaan lombong berkenaan menjadi besar. Ikan banyak di situ. Ketika ini Pak Jarak merupakan pengail di kampung tersebut. Dari Pak Jarak inilah asal usul keturunan Abang Amud kemudiannya. Tiap-tiap hari Pak Jarak mengail tetapi tidak dapat ikan. Mahu menjala dia tidak berani masuk ke tengah disebabkan lombong itu dalam. Kalau mahu menjala dari tepi saja mungkin tersangkut pada akar-akar kayu.

Satu hari ketika hujan turun renyai-renyai Pak Jarak nampak seekor ular besar berlingkar di atas sebatang kayu yang melintang di tengah lombong. Ketika dia ternampak ular ini mata kailnya direntap ikan. Tetapi sayangnya mata kail dia tersangkut di dalam air. Pak Jarak menjadi serba salah sama ada mahu turun ke air melepaskan mata kailnya yang tersangkut atau membiarkannya begitu saja. Kalau mahu turun ke air dia bimbang akan ular besar yang berlingkar di tengah lombong berhampiran dengan tempatnya menghulur joran kail. Dalam keadaan serba salah ini satu lembaga botak muncul di depannya. Lembaga botak ini pula berpaut pada hujung ekor ular tadi.

"Jarak...!" lembaga botak ini menegurnya.

"Awak mengail di sini tak minta kebenaran kawan. Lombong ini kawan yang punya..." katanya mengingatkan.

"Mana aku tau awak yang punya" sahut Pak Jarak memberanikan hati. Sedikit sebanyak dia juga memang pawang terkenal di kampung itu.

"Kawan tak mahu awak mengail lagi di sini!" kata lembaga botak itu memberi amaran.

"Aku tak peduli..." sahut Pak Jarak tersinggung dengan sikap lembaga botak berkenaan. "Selama ini rupanya kaulah yang menyebabkan aku tak dapat ikan" jerkahnya lalu menghunus parang. Pantas dia mencacakkan mata parang ke tanah, sambil membaca jampi serapah seperti yang pernah dituntutnya. Lembaga botak itu menjadi marah lantas melontar Pak Jarak dengan rantai besi. Pak Jarak menepisnya sambil menghentakkan tumit tiga kali ke bumi. Lembaga botak itu terhuyung hayang bagaikan dadanya kena hentak dengan tumit.

 

"Kalau awak berkeras juga..." laung lembaga botak itu menahan kesakitan di dadanya. "Kawan balas dendam pada anak bini awak. Anak bini awak pun selalu mengail ke sini!" katanya mengancam.

Pak Jarak menjadi serba salah. Dia tahu puaka air itu tidak dapat melawan dia, bagaimanapun dendamnya tetap membara. Mungkin anak atau isterinya akan diganggu apabila datang ke lombong tersebut. Dia tidak boleh menegah isteri atau anaknya supaya jangan mengail di situ kalau tidak bersebab. Dia juga tidak boleh memberitahu mereka tentang apa yang dilihatnya sekarang.

"Jadi awak nak apa?" soal Pak Jarak bercekak pinggang.

"Lebih baik kita bersahabat" sahutnya tegas. Tawaran puaka air itu mudah saja diterima oleh Pak Jarak. Ilmu kebatinannya yang dituntut selama ini memberi kesan juga. Bukan mudah mahu bersahabat dengan puaka air, seperti juga bersahabat dengan hantu raya dan lain-lain. Syarat bersahabat pun memang dia tahu. Dia perlu memberi makan sahabatnya itu setahun sekali iaitu seekor ayam panggang masak mentah, bertih dan darah ayam berkenaan. Setelah bersahabat dia boleh mengarahkan puaka air itu mendapatkan apa saja keperluannya. Dia juga boleh mendapatkan pertolongan menentang musuh-musuhnya kalau perlu apabila sudah bersahabat.

"Kalau kau mahu bersahabat, apa salahnya." ujar Pak Jarak lalu mencabut parangnya. Dia memulangkan semula rantai besi yang dilemparkan oleh puaka air ke arahnya tadi. Di situlah mereka berteguhan janji sebagai sahabat.

"Ingat, kau jangan ganggu anak cucu dan keturunan aku!" katanya meminta janji.

"Baiklah..asal saja kita tak putus sahabat." balasnya. Selepas itu ular yang berlingkar di atas batang melintang di tengah lombong itu menyelam semula ke dalam air bersama lembaga botak yang berpaut pada hujung ekornya. Kemudian Pak Jarak merentap kailnya dan dapatlah ikan kelah sebesar daun keladi. Tiap-tiap hari bila dia mengail sentiasa dapat banyak ikan. Bagaimanapun kalau hari hujan panas dia melarang anak cucunya bermain di tepi lombong itu. Siapa yang mengail ketika itu disuruhnya balik. Apakah rahsia hujan panas itu tidak pernah diberinya tahu kepada anak cucunya.

"Macam itulah ceritanya..." jelas Kak Liah pada saya.

"Kalau begitu..." bisik saya pada Sali. "Mari kita ke baruh tengok apa yang ada di lombong sekarang." kata saya mengajaknya.

Aki Sahak juga membenarkan saya pergi melihat apakah sebenarnya yang berlaku di lombong. Dia sendiri menunggu di situ saja. Kemudian saya dan Sali terus menuju ke baruh. Sali membawa lampu picit dan berjalan di depan. Saya mengekorinya dari belakang. Ketika sampai di lombong suasana di situ terlalu gelap. Kami menyusup di celah-celah teberau untuk memerhatikan lebih dekat apakah yang sebenarnya berbunyi. Sali sendiri tidak pernah lagi mendengar bunyi tersebut. Memang bunyinya sungguh menggerunkan.

Saya menyuruh Sali memadamkan lampu picit terlebih dulu. Oleh itu kami terpaksa merempuh belukar teberau itu dalam keadaan gelap gelita. Sebaik saja sampai di tebing lombong, terdengar bunyi bergaung itu seperti air disedut. Tidak ada apa-apa yang kelihatan walaupun bunyinya terlalu hampir dengan kami. Sali terdiam tidak bercakap apa-apa. Saya tahu dia benar-benar dalam ketakutan.

"Jangan-jangan naga tak ustaz?" bisiknya gementar.

"Entahlah" jawab saya, kerana cerita naga ini tidak terlintas langsung di kepala saya.

"Sebenarnya inilah lombong yang dipanggil orang lombong guntung" beritahunya perlahan dalam keadaan cemas. "Kalau hari hujan panas pernah orang nampak ular besar timbul di tengah lombong." katanya tidak pernah renggang dari saya.

"Kau pernah nampak?" tanya saya menduga.

"Tidak.." katanya sambil memerhati ke tengah lombong.

"Pernah mengail?" soal saya lagi.

"Ada juga.." jelasnya. "Kadangkala menjala juga dengan orang kampung" dia menerangkan selanjutnya.

"Tak ada pula jumpa ular?" saya kehairanan dengan keterangan dia.

"Selalunya Abang Amud bakar kemenyan barulah orang berani mencari ikan." Sali menceritakan kepada saya latar belakang sebenarnya lombong guntung itu. Mengapakah dipanggil lombong guntung Sali juga tidak tahu, kononnya nama itu sudah ada sejak turun temurun.

Saya hanya mengangguk-angguk saja mendengar cerita Sali. Mungkin orang bandar mengatakan itu sebagai tahyul, tetapi bagi saya bukannya perkara mustahil. Di dalam Qur’an pun ada disebutkan tentang peranan syaitan yang menjadi musuh setiap insan. Syaitan yang nyata ialah perbuatan seseorang insan itu, tetapi syaitan yang tidak nyata adalah makhluk halus yang tidak boleh dilihat dengan pancaindera.

Bagaimanapun apakah caranya saya hendak menerangkan kepada Sali tentang puaka air yang disebutkan tadi. Memang cerita Kak Liah itu juga dianggap tahyul. Tetapi apa yang diceritakan oleh Kak Liah, sudah dapat saya lihat sendiri melalui makrifat yang dilakukan oleh Aki Sahak. Itulah lembaga botak yang dikatakan pernah ditemui oleh Pak Jarak.

Sayangnya Pak Jarak cuma mempunyai ilmu pawang, bukannya ilmu agama. Maka dia telah menerima syaitan menjadi sahabatnya. Sepatutnya seseorang insan tidak boleh menjadikan syaitan itu sahabat, sebaliknya mestilah menggunakan syaitan itu sendiri untuk melawan syaitan yang lain. Sebenarnya kita boleh menggunakan syaitan, tetapi jangan biarkan diri kita digunakan oleh syaitan. Cara bersahabat yang dibuat oleh Pak Jarak, memang selalu digunakan oleh pawang-pawang di masa lalu. Cara bersahabat ini secara tidak langsung telah menjadikan diri kita dipergunakan oleh syaitan.

Insan berhak memerintah syaitan seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam. Dan ilmu syaitan tidak akan dapat mengatasi ilmu insan seperti diterangkan dalam Quran mengenai Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam. Tatkala Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam mahukan istana Puteri Ratu Balqis dipindahkan dan dibawakan kepadanya, jin Afrit yang merupakan syaitan paling tinggi ilmunya telah menyahut seruan Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam berjanji akan membawa istana Balqis sebelum sempat Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam bangun dari duduk. Tetapi seorang insan telah menyahut dengan berjanji akan membawa istana Balqis sebelum sempat mata Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam berkedip. Ini menunjukkan ilmu syaitan tidak akan dapat menandingi ilmu insan. Jadi, mengapakah kita mengambil jalan bersahabat dengan syaitan? Hal ini susah saya hendak terangkan kepada Sali.

 

Lama saya dan Sali berdiri di tepi tebing lombong itu, tetapi tidak ada lagi bunyi menggerunkan seperti tadi. Kalau ada bunyinya saya akan menyuruh Sali menyuluh, walaupun saya tahu kalau disuluh pun tentulah tidak akan kelihatan apa-apa.

"Dah tak ada bunyinya.." keluh Sali pendek.

"Pukul berapa sekarang?" saya bertanya.

Sali menyuluh jam tangannya.

"Dekat pukul dua..." beritahunya perlahan.

"Kita balik dulu..." ujar saya menepuk bahunya. "Kalau ada lagi bunyinya, esok kita ajak Aki Sahak kerjakan."

Terus saya tolak dia, suruh berjalan di hadapan. Sali tidak menyahut. Dia memasang lampu picit semula merempuh belukar teberau. Ketika berdiri di tebing lombong itu sempat juga saya membaca Ayatul Kursi sebanyak 133 kali. Sepanjang perjalanan balik itu tidak ada pun kami dengar bunyi macam air disedut itu lagi. Semasa kami sampai di halaman rumah Abang Amud itulah, jenazah anaknya baru sampai dibawa balik dari hospital.

 

 

TAMAT

*Untuk Arwah, ABDUL MULUK BIN DAUD @Tok Awang Ngah… AL-FATIHAH

HADIS DAN KISAH BELASAH DAN BUNUH SYAITAN JENIS JIN

  *HADITH 1   RASULULLAH SAW INGIN MENGIKAT JIN IFRIT* "Sesungguhnya jin ifrit telah meloncatiku semalam - atau beliau bersabda d...